Kerjasama antara Muafakat Nasional masih gagal diterjemahkan di Terengganu, kata Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ahmad Said.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu mengakui tidak berlaku kerjasama antara kepimpinan PAS dan Umno di negeri itu.
“Semangat kerjasama di peringkat negeri tidak wujud bukan seperti yang berlaku di peringkat nasional. Mereka (PAS) masih mengamalkan sikap yang lama.
“Mereka kata mahu menjalin muafakat tetapi apa yang berlaku sebaliknya.
“Misalnya berlaku tidak adil dalam agihan wang bantuan RM10 juta daripada kerajaan pusat bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19) di setiap negeri,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.
Ahmad berkata beliau mempertikai perkara itu kerana ia tidak diagihkan secara adil.
“Wakil rakyat PAS menerima RM350,000 sebaliknya wakil rakyat Umno mendapat sebanyak RM45,000. Itu pun selepas saya ‘bising’ mengenai hal itu,” jelas Ahmad.
Tambahnya lagi, beliau sudah memaklumkan perkara itu Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Semalam, Ahmad turut membangkitkan mengenai isu agihan peruntukan RM10 juta bagi bantuan Covid-19 pada sesi perbahasan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketika sidang DUN semalam, Ahmad turut mempersoalkan tindakan kerajaan Terengganu melantik “orang luar” memegang terlalu banyak jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri.
Ia memberi gambaran bagaikan tiada anak Terengganu yang layak untuk memegang jawatan berkenaan.

