Bekas MB Perak dilantik pengerusi MAHB

0
1

Bursa Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Melalui pengumuman di laman sesawang rasmi MAHB, pelantikan Zambry akan berkuatkuasa esok, iaitu pada Rabu.

Zambry memegang jawatan itu selepas bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali melepaskan jawatan yang disandangnya itu.

Zainun dilantik memegang jawatan itu pada 18 Januari tahun lalu.

MAHB dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Zainun atas sumbangan tidak ternilainya sepanjang bersama syarikat itu.

“Zainun telah bertindak untuk kepentingan Kumpulan pada setiap masa dan amat teliti dalam memastikan standard integriti dan tata kelola korporat tertinggi,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga MAHB turut mengalu-alukan pelantikan Zambry sebagai pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif yang baru.