Kedah ‘haramkan’ Nasi Kandar Salleh

0
2

[Covid-19] Kerajaan Kedah akan mengambil tindakan tegas ke atas pemilik Nasi Kandar Salleh di Napoh, termasuk tidak akan membenarkan premis itu untuk kembali beroperasi, kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata premis terbabit sudah diarah tutup dan disita sebelum tindakan lanjut ditentukan, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) tamat pada 30 Ogos nanti.

“Kita faham ramai pihak tidak berpuas hati dengan pemilik premis terbabit, bagaimanapun kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan pelaksanaan TEMCO berjalan lancar terlebih dahulu.

“Kita akan bincang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi menentukan tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan kedai,” katanya seperti dilapor BH.

Sanusi berkata, perasaan marah terhadap pemilik premis itu perlu diketepikan terlebih dahulu dan fokus ketika ini adalah merawat pesakit dan memastikan semua penduduk selamat.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mengumumkan tiada lagi pergerakan keluar masuk dibenarkan kepada penduduk di kawasan TEMCO termasuk untuk bekerja berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, sebelum ini ada penduduk bekerja di luar kawasan TEMCO dibenarkan keluar, namun ia mendedahkan orang ramai kepada penularan wabak Covid-19.

“Kita sudah berbincang bersama Kerajaan Pusat bagi melaksanakan TEMCO sepenuhnya dan pekerja boleh mendapatkan surat daripada Kementerian Sumber Manusia bagi diserahkan kepada majikan masing-masing.

“Majikan juga diharap tidak memotong atau memberhentikan kakitangan terbabit kerana tindakan ini perlu diambil bagi menyelamatkan negara dan mengawal penyakit,” katanya.