
Anggota sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berani menggugut seorang pegawai agensi penguatkuasa jika terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan kemasukan bot di perairan Johor Timur, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ugutan itu dibuat oleh tiga lelaki yang meminta anggota tersebut tidak mengambil sebarang tindakan terutamanya membuat pemeriksaan terhadap bot-bot yang memasuki perairan Johor Timur.
“Laporan sudah dibuat semalam. Polis sudah mengenal pasti tiga lelaki berkenaan dan sedang menyiasat sama ada mereka anggota sindiket penyeludupan PATI atau pun penyeludupan rokok dan minuman keras.
“Kita sudah buka kertas siasatan kes ini dan akan mengambil tindakan lanjut segera.
“Antara ugutan diberikan termasuk akan ada aksi tembak-menembak jika tindakan pemantauan dan pemeriksaan terus dijalankan ke atas bot-bot yang memasuki perairan Johor Timur,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau turut mengingati semua pihak bahawa ini bukan Colombia, tapi Malaysia dan Johor.
“Saya beri amaran polis tidak akan bertoleransi terhadap sebarang ugutan jenayah sebegini yang mahu menakut-nakutkan anggota penguat kuasa menjalankan tugas,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kebimbangan penduduk di kawasan Johor Timur terutama di sekitar Sungai Rengit dan Sungai Tiram, Kota Tinggi yang khuatir keselamatan terancam disebabkan kawasan itu dijadikan laluan tikus penyeludup PATI.
Ayob Khan meminta mereka membuat laporan polis jika ada sebarang maklumat atau diugut.
“Penduduk yang mempunyai maklumat atau pun diugut sindiket tidak perlu takut dan bimbang membuat laporan polis kerana mereka akan dilindungi pihak berkuasa.
“Terus buat laporan di balai berdekatan jika ada maklumat atau diugut sindiket.
“Jika tak mahu ke balai, maklumkan kepada akaun Facebook Polis Johor atau akaun Facebook saya malah boleh terus hubungi saya menerusi telefon,” katanya.
Menurutnya, memang ada penduduk atau orang kampung yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan namun masyarakat sudah mempunyai kesedaran dan banyak salurkan maklumat pada polis.
“Polis Johor tidak akan bertoleransi terhadap sindiket penyeludupan apa lagi jika membuat ugutan. Ini Johor,” katanya.
