Perlis umum TEMCO di dua kampung

0
2

[Covid-19] Kerajaan Perlis bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Sanglang selama 28 hari mulai hari ini hingga 4 September 2020.

Kerajaan negeri menerusi kenyataan berkata ia selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Pengisytiharan itu, katanya, bagi membolehkan aktiviti pengesanan yang telah dimulakan Jabatan Kesihatan negeri sejak semalam dilaksanakan lebih berkesan di kedua-dua kampung terbabit.

“Penduduk di kawasan TEMCO dimohon memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana pelaksanaan itu akan menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada.

“Ia dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk ke kawasan TEMCO.

“Orang awam yang berada di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan Perlis meminta penduduk kedua-dua kampung mematuhi arahan kuarantin di rumah setelah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

“Sepanjang tempoh kuarantin itu, ketua isi rumah dibenarkan keluar bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu. Arahan pelepasan akan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri selepas saringan Covid-19 didapati negatif.

“Kerajaan negeri prihatin terhadap kesulitan dialami dan akan menyalurkan kepada penduduk kedua-dua kampung yang terlibat,” kata kenyataan itu.