Fitri Nizam
Kerajaan akan menyumbang bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta menerusi Pertubuhan Palang Merah Lebanon (LRC) bagi meringankan beban mangsa tragedi letupan di Pelabuhan Beirut.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan dan rakyat Malaysia menghulurkan rasa simpati serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang.
“Kerajaan dan rakyat Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Lubnan dalam tragedi letupan besar di Pelabuhan Beirut yang menyebabkan kemusnahan besar pada 4 Ogos lalu.
“Kami berkongsi kesedihan dan penderitaan dengan saudara kami di Lubnan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru, kata Perdana Menteri, dalam semangat persaudaraan akrab kerajaan memutuskan untuk menyalurkan sumbangan berkenaan.
“Malaysia yakin dan percaya rakyat Lubnan mampu mengatasi impak tragedi dan meneruskan kehidupan dengan kekuatan semangat dan perpaduan berterusan,” katanya.
Dalam tragedi itu, sejumlah 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan selama bertahun-tahun dalam gudang di kawasan pelabuhan dipercayai menjadi punca letupan besar yang menggegarkan Beirut.
Dilaporkan kematian yang dicatatkan berhubung tragedi berkenaan melebihi 100 nyawa dengan kerugian melebihi AS$20 bilion.
