Inkues kali kedua tersasar prinsip undang-undang

0
2

Cadangan untuk melaksanakan inkues kali kedua kematian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah tersasar daripada prinsip undang-undang.

Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata ia bertentangan dengan prinsip perundangan negara.

“Dari sudut prosedur inkues ini telah dilakukan dan penerimaan dapatannya jelas.

“Dalam prosedur undang-undang yang mana tak puas hati boleh buat semakan undang-undang dan bukannya inkues kali kedua,” jelasnya dalam sidang media bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pembela mengadakan sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Selasa lalu, kerajaan menjelaskan kertas siasatan kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu dengan disusuli beberapa cadangan.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain turut dikemukakan adalah membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara.

Sementara itu, Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, berkata pihaknya ingin mengemukakan 20 tuntutan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk menolak inkues kali kedua berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menunggu tarikh daripada Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Katanya, 20 tuntutan itu termasuk mendesak kerajaan membuka semula siasatan dan pendakwaan terhadap kes berprofile tinggi, tanah rizab Melayu, kempen beli barangan muslim dan kedudukan Islam serta raja-raja Melayu.

“Kita juga meminta supaya kerajaan Melayu Islam ini menaik taraf mahkamah syariah seperti mana mahkamah sivil.

“Isu babitkan kes-kes mahkamah berprofil tinggi kita kerajaan meneruskan kembali dan bertindak seadil-adilnya.

“Kita juga menolak inkues kali kedua terhadap kes kematian Muhammad Adib,” katanya.