Pengawal keselamatan Nepal dipukul sudah beri keterangan

0
2

Nilam Oshman

Polis selesai merakamkan keterangan pengawal keselamatan warga Nepal yang tular dipukul seorang lelaki, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Rejab Ahad Ismail berkata keterangan lengkap telah diambil oleh pegawai penyiasat dan mangsa memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

Menurutnya, polis berkerjasama dengan kedutaan Nepal bagi mengesan mangsa dan jam 5.30 petang semalam, warga Nepal berumur 26 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan mengaku mangsa kejadian.

“Kertas siasatan kini dalam proses akhir untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan selanjutnya.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dan menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, menerusi video berdurasi 44 saat yang tular di media sosial, kelihatan pengawal keselamatan terbabit dipukul berkali-kali dengan kayu dipercayai cota selain ditampar dan ditumbuk oleh suspek.

Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju.

Suspek warganegara Nepal berusia 34 tahun yang dipercayai memukul mangsa telah ditahan untuk siasatan, Isnin lalu.