Letupan Beirut: Rakyat marah, angka kematian meningkat

0
2

Jumlah kematian akibat letupan di pelabuhan Beirut, Lubnan yang dipercayai berpunca dari baja ammonia nitrat kini meningkat lebih 113, selain mencetus kemarahan seluruh dunia.

Laporan AFP menyebut, letupan tersebut dapat didengari sejauh Cyprus iaitu kira-kira 240 kilometer.

Ia terjadi dari api yang membakar 2,750 tan bahan kimia terbabit yang tidak dilindungi di gudang pelabuhan Beirut, menyebabkan ibu kota Lubnan seperti gempa bumi dengan puluhan masih hilang, ribuan orang miskin melarat dan ribuan lagi dimasukkan ke hospital.

Seorang doktor yang cedera di kepalanya menggambarkan tempat kejadian sebagai ‘Armageddon’.

“Orang yang mengalami luka dan berdarah merata-rata di tengah jalan, yang lain terbaring di atas tanah di halaman hospital,” kata Dr Antoine Qurban di luar Hospital Hotel Dieu di Beirut.

Ketika penyelamat dan sukarelawan berusaha mencari dan menyelamatkan mangsa, situasi berkenaan membangkitkan kemarahan masyarakat berhubung sejumlah besar bahan yang sangat mudah terbakar yang kadang-kala digunakan untuk membuat bom buatan sendiri, disimpan di sebelah kawasan yang padat sekurang-kurangnya enam tahun.

Justeru, kerajaan berikrar untuk menyiasat serta Kabinet turut mendesak tentera supaya menempatkan mereka yang bertanggungjawab menyimpan bahan terbabit dikenakan tahanan rumah.

Sementara itu, menurut penduduk yang sudah 45 tahun menetap di daerah Mar Mikhail, Lina Daoud kehancuran disebabkan letupan itu menyebabkan mayat bertaburan di jalan, sambil mengecam ahli politik negara itu sebagai ‘musuh negara’.

“Mereka membunuh impian kita, masa depan kita,” katanya.

Datuk bandar Abboud turut berkata, kemusnahan itu mungkin menyebabkan 300,000 orang kehilangan tempat tinggal, menambah kesengsaraan ekonomi negara yang kekurangan wang dengan anggaran kerugian AS$3 bilion (RM12.6 bilion).

“Walaupun dalam tahun terburuk perang saudara, kami tidak melihat begitu banyak kerosakan di kawasan yang begitu besar,” katanya.