Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menuduh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kes projek terowong dasar laut di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, jam 9 pagi esok.
SPRM menerusi kenyataan malam ini berkata pihaknya telah mendapat izin daripada Peguam Negara bagi menjalankan pendakwaan itu.
Bekas Menteri Kewangan itu juga akan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau seterusnya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini.
“Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini adalah bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang,” kata SPRM.
SPRM berkata pihaknya turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Guan Eng mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 11 Ogos.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan itu tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 9.10 malam dengan sebuah Velfire putih dan kereta Mercedes Benz.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan ‘bermalam’ di ibu pejabat SPRM.
Sebelum ini, Guan Eng dipanggil tiga kali ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung skandal projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa individu dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan.
Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang dirancang ketika Guan Eng menjadi ketua menteri Pulau Pinang, menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai.

