Wan Kuzri persis Tony Kross

0
2

Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara dilihat hampir lengkap menerusi kehadiran pemain muda yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal bersama penyerang yang bakal menyertai KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin.

Kehadiran kedua-dua tonggak ini bersama barisan sedia ada mampu meraih keputusan positif dalam Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober depan.

Luqman yang gembira dapat menyertai kem latihan berkata, Kuzri mempunyai kualiti sebagai pemain antarabangsa selain mempunyai hantaran tepat seperti bintang Jerman Tony Kroos.

Luqman berkata, ketika ini terlalu awal untuk merumuskan gandingan Luqman-Kuzri dalam skuad B-19 namun akan cuba sedaya upaya membina persefahaman yang baik antara mereka.

“Kuzri pemain yang bagus daripada apa yang saya tengok melalui video di Youtube, Kuzri mempunyai gaya permainan seperti pemain luar negara.

“Pengalaman dan taktikal yang ada pada Kuzri boleh dikongsi bersama rakan sepasukan untuk memperbaiki lagi corak permainan individu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Luqman Hakim Shamsudin – Foto FAM

Sementara itu, Luqman berkata, tiada laluan istimewa buatnya untuk terpilih dalam senarai akhir skuad B-19 walaupun dikatakan mempunyai kelebihan berdasarkan prestasi sebelum ini.

Skuad B-19 diundi dalam kumpulan D bersama Qatar, Yaman dan Tajikistan dalam persediaan untuk menghadapi pusingan akhir kejuaraan B-19 AFC dari 14 hingga 31 Oktober depan di Tashkent, Uzbekistan.