PRN Sabah: Lompat parti kerana tak setuju sokong Tun M

0
2

Thaddius Unnip

[PRN Sabah] Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Kenny Chua menjelaskan beliau tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, ia sebab utama beliau membuat keputusan menyokong kumpulan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pada akhir bulan lalu.

Jelasnya, pendirian kerajaan pimpinan Warisan itu bertentangan dengan prinsipnya menyokong kepemimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Plus.

“Ia bertentangan dengan prinsip saya untuk bersama kerajaan negeri diketuai Warisan kerana mereka secara terbuka menyokong Mahathir.

“Parti itu juga dilaporkan sedia meminda perlembagaan untuk menjemput beliau ke dalam parti.

“Saya telah cakap berulang-kali lebih baik saya setia kepada presiden parti dan memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi sebagai Perdana Menteri yang seterusnya seperti dijanjikan kepada rakyat Sabah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenny adalah antara 12 wakil rakyat yang melompat parti bagi menyokong Musa sebelum Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.

Bekas Pembantu Menteri Kewangan negeri itu kemudian dipecat oleh PKR.

Sebelum ini, PKR mempunyai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sabah dengan seorang lagi ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi PH dan PKR negeri, Datuk Christina Liew.

Mengenai perancangan beliau, Kenny memaklumkan beliau bersedia untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Inanam jika masih diberi peluang untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ini bermakna Kenny masih berminat untuk bertanding pada PRN ini, namun beliau tidak menjelaskan sama ada bertanding atas tiket Bebas atau parti lain.

“Sejak dari mula dipilih, niat saya ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Inanam dan Sabah amnya.

“Jika diberi peluang sekali lagi, saya akan terus melakukan yang terbaik. Saya mahu perbetulkan apa yang salah dalam sistem sekarang,” katanya.