Najib dakwa dihukum kerana buat kebajikan

0
2

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa ramai antara penduduk di negara ini berjumpa beliau dan menyuarakan sokongan mereka selepas keputusan hakim diumumkan.

Najib turut mendakwa, beliau dihukum berkaitan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) kerana membuat kebajikan.

Sebagai contoh, katanya, transaksi yang terlibat dalam kes SRC International termasuk sumbangannya sebanyak RM400,000 kepada Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan bagi kegunaan harian menjaga anak-anak yatim dan kos persekolahan mereka.

Dakwanya, disebabkan sumbangan itu, beliau didenda RM2 juta dan turut didenda RM3.25 juta kerana pernah menghulurkan sumbangan sebanyak RM650,000 kepada Umno Johor, Pulau Pinang dan Kedah bagi melaksanakan program kebajikan mereka.

“Banyak lagi contoh-contoh perbelanjaan seperti ini yang bukannya untuk kepentingan peribadi atau untuk keselesaan hidup saya, tetapi untuk tujuan rakyat dan untuk parti.

“Sebab itu, ramai berjumpa saya untuk menyampaikan salam serta menyuarakan sokongan selepas keputusan hakim diumumkan, berpendapat saya telah berkorban dan dikorbankan selepas saya dijatuhkan hukuman yang amat dahsyat ini,” katanya yang bersiaran secara langsung di Facebook, malam tadi.

Najib seterusnya berkata, berdasarkan sokongan padu diterimanya, beliau berikrar akan terus berjuang menentang keputusan amat tidak adil ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya proses rayuan itu dan akan terus melawan dan berjuang demi rakyat.

Minggu lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan kelak.