Seramai 131 pelajar perempuan Maahad Tahfiz Selangor di Jalan Istana Lama, Kampung Bandar Banting dekat Banting, sempat menyelamatkan diri selepas bangunan asrama dihuni mereka terbakar, pagi tadi.
Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.49 pagi dan tiba di lokasi kebakara enam minit kemudian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata bangunan empat tingkat dengan keluasan 30X100 kaki itu musnah 40 peratus di tingkat empat.
“Kesemua 131 penghuni asrama itu terselamat dan mereka ditempatkan di kawasan berkumpul berhampiran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Norazam berkata operasi itu membabitkan 27 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, BBP Telok Panglima Garang, BBP KLIA, BBP Pelabuhan Klang, BBP Seksyen 7.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.24 pagi, manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

