Umno Sabah tiada kaitan dengan kemelut politik di negeri itu kerana usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah rencana bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memandangkan Musa satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Sabah.
“Satu-satunya wakil rakyat UMNO di Sabah ialah Tan Sri Musa Aman dan beliau mungkin bertindak atas kehendaknya sendiri untuk menjatuhkan Warisan,” kata Bung Moktar seperti dilaporkan Borneo Today.
Daripada kesemua Adun yang didakwa memihak kepada kumpulan Musa, mereka terdiri daripada pelbagai parti, antaranya Warisan, Bersatu, PKR, Upko, Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Bebas.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan seterusnya berkata parti tersebut tiada kaitan dengan peristiwa yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.
“Apa yang berlaku adalah satu pakatan yang membabitkan beberapa parti politik lain,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pembubaran DUN adalah cara terbaik untuk menamatkan krisis politik negeri itu.
“Kita akan serahkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka benar-benar percaya dapat memerintah negeri ini,” katanya.
Rabu lalu, Musa mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu membabitkan Adun dari pelbagai parti.
Kelmarin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dun selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

