Wan Faizal Ismayatim
Hanya kira-kira 10 hari lalu, genap 26 tahun usia Stadium Shah Alam, stadium kebanggaan Selangor yang dibina dengan kos RM460 juta.
Stadium berkapasiti 80,000 penonton itu dibuka secara rasmi pada 16 Julai 1994 dengan perasmiannya disempurnakan oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah.
Upacara perasmian berlangsung gilang-gemilang, dilaporkan dihadiri lebih 120,000 rakyat Selangor, 40,000 melebihi kapasiti sehinggakan ribuan penonton terpaksa duduk bersila di atas trek.
Perlawanan bola sepak rasmi pertama di Stadium Shah Alam menemukan pasukan Pilihan Selangor dan kelab dari Scotland, Dundee United sejurus selepas upacara pembukaan.
Aksi berkesudahan seri 1-1 dengan pemain Dundee, William McKinlay melakar sejarah pemain pertama menggegar jaring gol di Stadium Shah Alam. Gol penyamaan Pilihan Selangor dijaringkan Allahyarham Annuar Abu Bakar.
Perlawanan pertama Selangor bagi saingan Liga Malaysia di Stadium Shah Alam selepas berpindah dari Stadium Merdeka ialah menentang Perlis pada 30 Julai 1994. Perlawanan berkesudahan Selangor menang 3-0.
Aksi Selangor bertemu Kedah di peringkat kumpulan Piala Malaysia 1994 mencatat sejarah tersendiri apabila pertama kali saingan liga tempatan dibanjiri lebih 80,000 penonton yang memenuhi setiap ruang di Stadium Shah Alam. Perlawanan berkesudahan Kedah menang 1-0 menerusi jaringan Jan Janostak.
Tahun 1994 juga menyaksikan pertama kali final Piala Malaysia berlangsung di Stadium Shah Alam menemukan Singapura dan Pahang yang mana skuad Singa Selatan muncul juara setelah menang 4-0 menerusi hatrik Abbas Saad.
Sejarah turut tercipta pada 1995 apabila skuad Manchester United bimbingan Alex Ferguson turun ke Stadium Shah Alam dalam dua aksi persahabatan dengan pasukan Pilihan Selangor.

Antara bintang Manchester United yang hadir ketika itu ialah Peter Schmeichel, Steve Bruce, Gary Neville, Paul Scholes, Nicky Butt, Roy Keane, Lee Sharpe, David Beckham dan Phil Neville.
Perlawanan pertama berkesudahan Manchester United menang 4-1, aksi kedua beberapa hari kemudian sekali lagi The Red Devils menang, kali ini 2-0.
Antara kelab ternama dunia lain yang pernah beraksi di Stadium Shah Alam ialah Barcelona, Sevilla, Flamengo, Bayern Munich dan Tottenham Hotspur.

Bagaimanapun, sayangnya kebelakangan ini sering kali diperkatakan mengenai keadaan Stadium Shah Alam, gelanggang rasmi skuad Liga Super Selangor yang berdepan isu keselamatan membabitkan struktur bumbung.
Keadaan bumbung stadium yang bocor bukan sahaja membahayakan penonton kerana mungkin terkena serpihan objek tajam apabila ditiup angin, malah membuatkan penonton basah kuyup terkena hujan selain tentunya menjejaskan imej Selangor dan Malaysia di mata dunia.
Ia menyebabkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan Stadium Shah Alam tidak selamat digunakan, sekali gus Selangor terpaksa menggunakan Stadium UiTM sebagai gelanggang sendiri.
Dilaporkan sebelum ini beberapa kali peruntukan yang mencecah puluhan juta ringgit telah dikeluarkan untuk baik pulih kemudahan stadium dan padang, tetapi keadaan seakan tidak berubah.
Malah, penyokong Selangor yang ‘fed up’ dan malu dengan situasi itu kerana selalu dibahan oleh penyokong lawan, mahu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mencari jalan mengusahakan pembinaan stadium baharu milik pasukan, bukan lagi di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan seperti sekarang.

Usia 26 tahun kalau diikutkan sebenarnya masih muda, tetapi keadaan Stadium Shah Alam kini umpama sudah terlalu tua akibat tidak diselenggara dengan baik dan tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Kini ia memerlukan pembaikan yang besar atau stadium yang pernah menjadi kebanggaan itu akan bertambah usang.

