Orang Sabah rindukan Umno, BN – Zahid

0
2

Aiman Hanif

Kehadiran Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah ketika khabar angin bertiup kencang mengatakan kerajaan negeri akan bertukar menguatkan lagi spekulasi mengenainya.

Apakah benar dengan kehadiran Ahmad Zahid kerajaan Sabah yang kini diterajui Parti Warisan Sabah akan kembali dikemudi Umno.

Melalui satu hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata orang Sabah “merindui Umno dan BN”.

“Rakyat Sabah rindukan Umno dan BN. Umno Sabah terus diperkukuhkan.

“Terima kasih ketua Umno bahagian-bahagian yang bersama saya malam ini.”

Kehadiran Ahmad Zahid di Sabah disambut Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Mohd Shafie Apdal menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap tindakan pihak tertentu yang mengganggu dan mengugat ketenteraman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan Sabah.

Menurut Shafie, laporan polis telah dibuat dan diharap siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menghantar individu tertentu bagi mendesak serta mengugut Adun kerajaan.

“Saya difahamkan ada Adun yang ditemui pihak tertentu, malah ada yang masuk dalam rumah. Kalau mahu masuk dalam rumah sekali pun, kena ada waran yang sah untuk mengetahui tujuannya.

“Perkara ini bukan berlaku sekali sahaja, ia sudah berulang kali dan ini menganggu, mengugat ketenteraman individu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan yakin ada pihak lain di belakang mereka dan tertanya-tanya motif pihak terbabit.

Bagaimanapun kata Mohd Shafie beliau tidak mempunyai masalah jika Adun kerajaan ingin beralih sokongan.

Sementara itu Bung Moktar ketika dihubungi Malaysia Post bagi bertanya tentang kemungkinan kerajaan Sabah akan bertukar dalam masa terdekat ini.

“Belum pasti lagi,” katanya secara ringkas.