‘Sekarang masa terbaik untuk menang PRU15’

0
2

Aiman Hanif

Parti yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kemenangan dengan majoriti besar sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

Exco Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata sekarang adalah masa yang terbaik untuk PRU-15 diadakan jika PN mahu terus kekal berkuasa.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk PRU-15 diadakan dengan momentum rakyat memihak PN.

“Cara kerajaan menangani Covid-19 dan tindakan kerajaan membantu rakyat sememangnya berjaya menyentuh hati rakyat.

“Jadi, bagi saya ini adalah masa terbaik untuk kerajaan mendapat mandat baru,” katanya kepada Malaysia Post.

PN membentuk kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak melepas jawatan.

Ia disusuli dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu membawa keluar parti itu daripada PH.

Bersatu bersama kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan PKR membentuk kerajaan PN bersama BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti dari Sabah.

Sementara itu, Mustafa berkata kerajaan PN yang ada kini juga tidak kuat berdasarkan jumlah kerusi yang dimiliki.

“Kerajaan yang ada sekarang tidak stabil, kita perlukan kerajaan yang kuat untuk memudahkan kita berkhidmat kepada rakyat.

“Kerajaan yang ada sekarang ini jika ada sidang Parlimen perdana menteri, menteri tak boleh ke mana-mana risau jika berlaku undian di Dewan Rakyat kita tewas,” katanya lagi.