Nurul Huda Abhar
Lagu Derita bukan saja sering dimainkan di corong radio, malah mendapat tontonan lebih 24 juta di Youtube, namun nama Isma Sane tidak melonjak naik seiring lagu ciptaannya.
Pemilik nama sebenar Isma Iqbal Abdul Sane bagaimanapun tidak cepat melatah apabila sering diaju persoalan tersebut.
Sebaliknya dia lebih suka memberi ruang kepada pendengar untuk mengenalinya berdasarkan karya dan bakat, bukan populariti semata-mata.

“Tiada masalah asalkan mereka boleh terima karya saya berbanding nama Isma. Untuk lebih dikenali peminat, saya percaya lama kelamaan nanti mereka akan tahu.
“Semasa single pertama keluar, saya masih belajar dan menjalani latihan praktikal. Di laman sosial juga tak berapa aktif sebab fokus dengan pelajaran,” katanya.
Sambung pengajian
Penyanyi berusia 22 tahun lulusan Kejuruteraan Elektronik dari sebuah institusi pengajian tinggi awam itu turut berhasrat menyambung lagi pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Apabila ditanya adakah mahu menukar kursus pengajian kepada bidang muzik, anak bongsu daripada sembilan beradik tersebut tetap mahu meneruskan bidang kejuruteraan yang dipelajari sejak awal.
“Pendapat peribadi saya, muzik boleh belajar sendiri tanpa perlu ke kelas vokal. Terdapat banyak cabang lain yang boleh kita belajar untuk tambah ilmu.
“Menyanyi itu memang minat saya tetapi tetap mahu belajar atau bekerja dalam bidang kejuruteraan supaya ada dua kelebihan serta kemahiran dalam satu masa,” katanya lagi.
Impian
Menceritakan tentang dirinya 10 tahun akan datang, penyanyi yang meminati sukan sepak takraw dan futsal itu mengimpikan untuk bergelar komposer dan penulis lirik.
Hasrat bergelar komposer dan menghasilkan lagu untuk artis tanah air memang menjadi idamannya walaupun sedar namanya masih baru dalam dunia hiburan.
“Saya mengakui bakat menghasilkan lagu tidaklah setanding dengan nama besar yang lain, tapi ia boleh digilap dengan latihan.
“Minat itu lebih kepada menghasilkan lagu jadi saya memang memasang impian untuk menjadi komposer suatu hari nanti untuk mengembangkan lagi bakat,” katanya.
Single Sepi
Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu bakal muncul dengan Single terbaharu berjudul Sepi. Lirik dan lagu juga hasil nukilannya sendiri dan dijangka menemui pendengar Ogos ini.
Isma turut berkongsi bahawa Sepi ditulis berdasarkan pengalaman percintaannya yang terdahulu namun menganggap itu menjadi kisah yang telah berlalu dan hanya coretan dalam lagu terbaharunya.
“Lagu Derita adalah kisah seorang sahabat saya dan Kembali adalah kesinambungan daripada lagu Derita.
“Sepi pula istimewa kerana itu pengalaman diri sendiri. Kisah percintaan anak muda semasa belajar. Ketika itu saya masih belum bergelar penyanyi. Lirik lagu itu adalah penceritaan serba sedikit tentang kisah lalu.
Ditebak dengan soalan bolehkah Sepi menjadi sepopular Derita, Isma mengakui meletakkan harapan tinggi kepada lagu tersebut kerana ia adalah lagu pertama yang akan keluar pada tahun ini dan berkait rapat dengan kisah sendiri.
“Penataan muzik dan rakaman sudah siap. Cuma tinggal muzik video akan dibuat dalam masa terdekat. Saya harap satu lagi lagu ciptaan saya dapat diterima peminat bila dilancarkan nanti,” tutupnya.

