Bank disaran lanjut moratorium secara bersasar

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

Kerajaan disaran melanjutkan tempoh moratorium bagi tempoh tiga bulan lagi secara bersasar, khususnya kepada golongan B40 dan peniaga kecil yang masih lagi terkesan dengan Covid-19.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata walaupun aktiviti ekonomi sudah dibuka awal Mei lalu, tetapi keyakinan pengguna tidak berada pada tahap sebelumnya.

KEYAKINAN pengguna masih belum di tahap sebelum ini. FOTO: UUM

“Kita mulakan tiga bulan sahaja dulu dengan bersasar. Pastinya golongan B40 memerlukan, selain peniaga dari sektor tertentu seperti pelancongan dan peruncitan.

“Keyakinan pengguna masih belum di tahap sebelum ini (sebelum pedemik) jadi ia mengambil masa… mereka masih memerlukan bantuan moratorium ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Post.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perlu atau tidak tempoh moratorium disambung selepas ia akan berakhir September ini.

Dr Irwan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) tidak mempunyai masalah untuk mengenal pasti golongan memerlukan kerana ia mempunyai Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Ditanya sama ada pihak Bank terkesan sekiranya moratorium dilanjutkan, beliau berkata Malaysia setakat ini belum berdepan dengan krisis kewangan walaupun dijangkakan tahun ini akan mengalami kemelesetan ekonomi.

“Setakat ini sistem kewangan, sistem perbankan kita masih kukuh. Tiada tanda yang kita akan berdepan masalah dari segi krisis kewangan, perbankan.

“Saya fikir masih ada ruang untuk bank memberi lanjutan moratorium. Saya rasa Menteri Kewangan kita pun tahu hal ini kerana dia dulu orang bank. Jadi saya rasa bank mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian,” katanya.

Katanya, berdasarkan jangkaan beberapa pihak seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), malah Bank Negara juga pada 2021 ekonomi negara akan kembali pulih.

“Jadi selepas itu, kita boleh nilai semula sama ada perlu atau tidak diteruskan lagi (moratorium) tiga bulan ataupun boleh meneruskan semula peniagaan mereka.

“Ketika ini kita mungkin lihat peniaga ok, tetapi lepas habis moratorium September ini bagaimana? Sebab ketika ini kita belum berada pada tahap betul-betul mengatasi.

“Kita perlu responsif dengan pemain industri dan paling penting rakyat kerana mereka golongan yang memerlukan moratorium,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan belum membuat keputusan sama ada moratorium pinjaman balik bank akan dilanjutkan atau tidak.

Beliau berkata, lanjutan moratorium itu masih dalam perbincangan dan tiada keputusan muktamad setakat hari ini.