Apa salah calonkan Muhyiddin – Tok Mat

0
2

Wan Faizal Ismayatim

Tidak ada salah bagi UMNO menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Pandangan peribadi saya, tak ada salahnya kalau kita menamakan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri kerana prestasi beliau dan penerimaan rakyat amat tinggi.

“Mengapa tidak kita ambil peluang untuk menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional, tak ada isu. Yang penting kita dapatkan kemenangan yang selesa,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysia Post, baru-baru ini.

UMNO dan PAS sebelum ini dilaporkan secara prinsip bersetuju untuk terus menyokong Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata keputusan itu dibincang dalam mesyuarat bersama baru-baru ini.

Bagaimanapun ia menerima pelbagai reaksi daripada beberapa pihak termasuk veteran UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang mahu ia dibincangkan lebih mendalam, selain memberi tumpuan terlebih dahulu kepada soal pembahagian kerusi pada PRU-15 nanti.

Sementara itu, Mohamad berkata UMNO boleh mengubah semula keputusan pemecatan Muhyiddin pada 2016 dan menerimanya semula ke dalam parti, jika bekas Timbalan Presiden UMNO itu berhasrat untuk kembali.

“Kalau ada hasrat kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau. Kami mengalu-alukan jika ada hasrat Tan Sri (Muhyiddin) hendak kembali ke UMNO, lebih baik begitu.

“Beliau akan jadi Perdana Menteri yang didukung parti yang besar dan mempunyai ramai Ahli Parlimen, jadi lebih mudah dan lebih senang.

“Untuk hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pun tiada masalahnya, misalnya dari segi pembahagian kerusi,” katanya.

Pada 24 Jun 2016, MT UMNO memutuskan Muhyiddin dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh MT UMNO kerana pelanggaran disiplin, iaitu berada di pentas bersama pembangkang menyerang pimpinan dan parti.

Sebelum ini beberapa pemimpim UMNO menyarankan agar Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO sekali gus menyelesaikan pelbagai isu berbangkit, termasuk pembahagian kerusi pada PRU-15.

Antara yang menyatakan demikian ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohammed selain Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Mohamed Nazri dilaporkan berkata semua ahli dan pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka dan menerima Muhyiddin kembali menyertai parti itu.

Katanya, kemasukan semula Muhyiddin ke dalam UMNO akan menyelesaikan banyak masalah, khususnya pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS bersama Bersatu.