Nurul Huda Abhar
Penyanyi dan pelakon, Lufya Omar mengingatkan bekas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum agar tidak melupakan anak mereka dan menjalankan tanggungjawab sebagai ayah dengan baik.
Lufya berharap bekas suaminya bertanggungjawab kepada anak mereka dan sedia untuk berbincang tentang hal tersebut untuk kebaikan bersama.
“Saya harap dia tak lupakan anak dia.
“Saya tak mahu membesarkan lagi isu yang sedia ada tapi diharap dia (bekas suami) kena ingat tugas dan berbincang dengan saya,” katanya ketika ditemubual di sebuah rancangan televisyen.
Lufya, artis kelahiran sebuah rancangan realiti televisyen turut memberi contoh sikap pelakon, Sharnaaz Ahmad yang tetap mengambil berat kebajikan anak walaupun berada dalam krisis rumah tangga bersama isterinya Noor Nabila Mohd Noor.

Pelakon Ramadan Jangan Pergi tersebut memuji sikap Sharnaaz Ahmad yang datang sendiri ke rumah isterinya untuk melawat anak mereka dan mengutamakan anak berbanding masalah rumah tangga.
“Sharnaaz dan Nabila juga ada masalah tapi anak tak pernah lupa. Sharnaaz turunkan ego dia dan datang ke rumah untuk melihat anak mereka berdua.
“Apa juga yang berlaku antara mereka tetapi tidak pernah ketepikan anak. Anak menjadi keutamaan. Ego seorang lelaki itu boleh ditepis, dan jika lelaki mengambil inisiatif memulihkan keadaan walaupun bukan untuk berbaik semula itu sudah cukup menunjukkan sikap bertanggungjawab,” katanya lagi.
Lufya mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak, Laana Haura, 3, sebelum memfailkan sebutan permohonan cerai pada 16 Oktober lalu.
Pasangan itu secara rasmi bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya, 17 Jun lalu.

