Kenaikan kadar PGK: Bantuan kerajaan perlu dipertingkat

0
2

Nurul Huda Abhar

Orang ramai menyambut baik kajian semula kadar Garis Pendapatan Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 daripada RM980, sekali gus mengemaskini takrif kemiskinan nasional terutama bagi mereka yang tinggal di ibu kota.

Safirah Abdul Wahab, 29, yang bertugas di sektor swasta berpendapat apabila pengumuman dibuat untuk mengkaji semula metodologi penetapan PGK, itu bermakna kerajaan sedang berusaha untuk membantu rakyat.

Safirah Abdul Wahab

“Saya setuju jika kerajaan menaikkan had PGK kerana kadar lama RM980 itu telah lama digunakan. Kajian semula ini boleh membantu kerajaan mendapat jumlah sebenar golongan yang memerlukan.

“Sekarang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan Covid-19 ramai yang diberhentikan kerja. Jadi saya harap dengan had PGK baru ini kerajaan ada pelan bantuan yang berkesan untuk membantu golongan ini,” katanya.

Berkhidmat di sebuah stesen televisyen swasta, Muhd Al-Amin Adzman, 37, pula beranggapan istilah ‘miskin bandar’ sebenarnya telah lama wujud dalam kalangan mereka yang mencari rezeki di bandar-bandar besar.

Katanya, tangga gaji yang dianggap agak minimum masih tidak mampu untuk menampung perbelanjaan hidup yang semakin meningkat, ditambah kenaikan harga barang semakin meruncing.

“Jika pendapatan seisi rumah hanya lebih kurang RM2,000 itu sebenarnya masih tidak cukup menampung perbelanjaan sehingga hujung bulan.

“Memang perlu kerajaan beri penekanan lebih pada rakyat miskin. Jangan sampai mereka tertekan kerana fikirkan wang perbelanjaan,” tambahnya.

Pegawai Alam Sekitar, Mira Afiqah Syuhada, 27, menyatakan apabila kerajaan mengenal pasti kadar kemiskinan sebanyak 405,441 isi rumah berdasarkan PGK yang baharu, persediaan dari segi bantuan subsidi, pelan bantuan jangka panjang dan penambahbaikan taraf hidup di bandar harus dipergiatkan.

Mira Afiqah Syuhada

“Saya harap golongan sasar yang perlu bantuan akan didahulukan. Apabila golongan miskin bertambah, bantuan dan subsidi daripada kerajaan juga perlu lebih banyak. Ikut prosedur yang tepat agar semua golongan tidak terkecuali,” katanya.

Metodologi pengiraan PGK kali terakhir dikemaskini adalah pada tahun 2005 berjumlah RM980 sebulan bagi seisi rumah sebelum disemak semula kepada RM2,208.