Realitinya saya tidak boleh membela diri kerana ketiadaan peguam – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak menyifatkan dirinya ibarat telur di hujung tanduk kerana tidak dapat membela diri dalam rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd berikutan penarikan diri peguam bela utama Hisyam Teh Poh Teik, hari ini.

“Nyawa, kebebasan dan hak saya untuk mendapat perbicaraan yang adil, kini terancam,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mengendalikan kes rayuan beliau.

Justeru, Najib berkata, beliau ingin merekodkan bantahannya terhadap prosiding rayuannya, hari ini.

“Saya kini secara realiti, tidak mempunyai peguam bela dan tidak boleh untuk menghujahkan pembelaan.

“Saya percaya, saya mempunyai kes yang kuat dan credible (dipercayai) serta saya juga percaya bahawa Hisyam dan pasukannya sekiranya diberikan waktu yang munasabah akan melakukan tugas hebat,” katanya kepada media selepas selesai prosiding rayuannya di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, bekas Presiden Umno itu tetap berdoa dan berharap akan mendapat perbicaraan yang adil sekali gus menang dalam kes rayuan berkenaan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Hisyam yang juga peguam utama Najib untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan, ketika membacakan keputusan panel hakim berkata, mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.

Menurut Maimum, kuasa untuk membenarkan permohonan peguam menarik diri berbangkit daripada kuasa budi bicaranya untuk menghendaki peguam supaya bertindak dengan sepatutnya supaya kes yang didengar di hadapannya (mahkamah) dapat diputuskan dengan efektif. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here