
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati membuat sebarang kenyataan membabitkan isu kepincangan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Azam berkata, siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut dan pihaknya memikul tanggungjawab menjaga setiap kerahsiaan hasil siasatan.
Katanya, sebarang kenyataan atau reaksi yang dikeluarkan oleh mana-mana individu boleh mengganggu siasatan dijalankan SPRM.
“Sebarang fakta atau maklumat yang dikeluarkan oleh mana-mana individu tidak semestinya tepat atau tidak.
“Jika ada perkembangan terbaharu mengenai hasil siasatan, sudah pasti SPRM akan maklum kepada semua,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Terdahulu, isu LCS terus mendapat perhatian Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mempersoalkan rasional di sebalik fakta sebuah subkontraktor yang baru ditubuhkan 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta daripada projek pertahanan utama negara.
Kontroversi perolehan LCS oleh kerajaan kembali menjadi polemik susulan pembentangan laporan siasatan PAC di Parlimen dua minggu lalu, yang menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.
Laporan itu menjelaskan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek rundingan terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.
Projek LCS bermula pada 2011 yang mana ketika itu negara ditadbir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diluluskan ketika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan. – Malaysiapost
