PEMUDA Parti Amanah melancarkan Tabung #Solidariti4HasbieMuda bagi membantu Ketuanya, Hasbie Muda yang akan didakwa di mahkamah hari ini.
Ia susulan penglibatan Hasbie dalam penganjuran demonstrasi Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang di Kampung Baru, Kuala Lumpur, 1 Julai lalu.
Menurut Pemuda Amanah, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Pemuda Amanah Nasional 562834643637.
Semalam Pengerusi Peguam Muda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda memaklumkan pendakwaan akan dilakukan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9 pagi ini.
Hasbie akan dituduh di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang yang rata-ratanya dikendalikan pemimpin Amanah mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan dalam isu menangani kenaikan harga barang.
Tuntutan tersebut adalah mengembalikan semula subsidi makanan, menghapuskan permit import (AP) bekalan makanan import dan memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan masalah bekalan makanan. – Malaysiapost

