DATUK Seri Najib Razak hari ini mengemuka rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Pada prosiding hari ini, pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu dijangka membuat penghujahan pertama, sebelum disusuli penghujahan balas oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk, V Sithambaram, lapor Berita Harian.
Pasukan pendakwaan turut disertai empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Donald Joseph Franklin; Sulaiman Kho, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.
Najib turut diwakili peguam bela yang juga bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiavaranam dan Hannah Kam Zhen Yi.
Pada Isnin dan Selasa lalu, panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mendengar dua permohonan dikemukakan pasukan pembelaan Najib.
Permohonan pertama membabitkan cubaan Najib untuk mengemukakan bukti baharu untuk mengaitkan latar belakang pembabitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan SRC.
Permohonan kedua pula adalah usaha pasukan pembelaan Najib untuk menangguh rayuan utama kes SRC untuk tempoh tiga hingga empat bulan atas alasan membolehkan pasukan pembelaan baharu dilantik Najib itu membuat persediaan.
Namun, kedua-dua permohonan ditolak sebulat suara panel lima hakim yang bersidang termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Ketika mengumumkan keputusan itu Tengku Maimun berkata, mahkamah sudah empat kali mengingatkan bahawa ia tidak akan membenarkan prosiding ditangguhkan walaupun berlaku pertukaran peguam perayu. – Malaysiapost

