Scammer guna gambar, video saya untuk menipu di FB – Siti Nurhaliza

0
2

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menasihatkan pengguna media sosial lebih berwaspada dan tidak terpengaruh dengan pihak yang mengguna pakai gambar dan videonya untuk tujuan penipuan.

Menerusi hantaran di Instagram, Siti berkata perkara seumpama itu sudah seringkali berlaku dan dilaporkan sebelum ini.

“Masih ada insan yang menggunakan wajah dan video saya yang diulang pakai untuk menipu orang ramai di laman Facebook. Ada dua produk yang dikesan menggunakan gambar saya bersama suami.

 “Produk itu tentang rambut lebat dan sebagainya. Jangan percaya, itu semua penipuan. Saya dan suami tak pernah gunakan produk itu, tak pernah pun jadi duta mereka. Apa yang berkaitan dengan produk itu tidak benar, tiada kaitan dengan saya atau suami,” tulisnya dalam hantaran itu.

Dalam masa sama, pelantun lagu 7 Nasihat itu juga berasa kesal kerana pihak terbabit berani menyalahgunakan gambarnya, selain mengguna pakai videonya untuk aktiviti meneka nombor.

“Itu pun bukan saya dan tiada kaitan dengan saya. Mereka gunakan video saya dalam live sebelum ini, seingat saya sewaktu pandemik yang awal-awal dahulu sebab ketika itu saya banyak buat video.

“Mereka ambil balik video itu dan ulang-ulang untuk menipu semua orang di Facebook serta menjanjikan duit. Ini scammer, anda janganlah terpedaya.

“Saya faham, sesetengah orang mengharapkan duit yang ditawarkan itu untuk menampung keluarga dan sebagainya.

“Saya minta maaf sangat, tolong jadi bijak dan jangan mudah terpedaya. Itu bukan saya. Mereka gunakan gambar dan video saya untuk kelirukan dan menipu orang,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dengan penjelasan yang diberikan itu Siti berharap agar orang ramai lebih berhati-hati supaya tidak ada lagi pihak yang ditipu ‘scammer’.

“Tidak semudah itu mereka mahu memberikan wang tunai. Jika mereka jujur, mengapa menggunakan video saya? Bukankah dari sini kita sudah tahu muslihat mereka untuk memperdaya orang ramai,” katanya. 

Sebelum ini, gambar dan video Siti yang dimuat naik di Instagram miliknya sering kali digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan promosi produk makanan dan kesihatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here