AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa parti kerajaan yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang agar dapat mengekalkan permuafakatan yang dianjurkan dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas itu, berkata ketika ini semua nak berlawan dalam pilihan raya kerana keperluan masing-masing dan keadaan itu adalah normal bagi setiap parti.
Beliau berkata, bagaimanapun dalam MN sebelum ini telah ada beberapa pilihan untuk menghadapi pilihan raya.
“MN bukan sekadar pilihanraya. Ia adalah jambatan perpaduan dan permuafakatan melangkau pilihan raya.
“Jika pertandingan tiga penjuru tak dapat dielakkan, kita bergerak pilihan akhir iaitu politik damai dan matang. Perlawanan adik beradik mencari yang terbaik. Persaingan sihat mesra rakan menawar khidmat kepada umat.
“Elakkan serang menyerang yang membina persepsi. Bentangkan fakta secara ilmu dan dedikasi. Jangan sombong dan angkuh berbicara. Jangan menyindir yang keras dan pedas menghiris rasa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, jangan ‘dibakar jambatan’ perpaduan kerana barangkali selepas PRU ia diperlukan.
“Malah jambatan persaudaraan tidak wajar dan tidak pernah putus walau berbeza pendapat dan pandangan.
“Kita bersama selangkah seiring berpimpin tangan membina politik baru, politik generasi ke hadapan untuk anak cucu mendatang,” katanya. – Malaysiapost

