KENYATAAN Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengenai usaha mencari jalan menyelamatkan hubungan Pas dengan Umno atas nama Muafakat Nasional (MN) kini boleh dilihat hanya sebagai sandiwara semata-mata.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia susulan kenyataan terbaharu Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari yang ingin menjatuhkan kerajaan Umno di Pahang melalui undi pengundi Pakatan Harapan (PH)
“Untuk Pas kembali kepada PKR-DAP bukanlah satu yang mustahil kerana mereka pernah bersama dalam Pakatan Rakyat atas matlamat yang serupa dengan saranan Ketua Pemuda Pas demi semata-mata untuk mengalahkan Umno.
“Kalau Pas boleh meninggalkan Umno dalam MN untuk bersama dengan Bersatu membentuk Parti Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil juga mereka boleh berubah untuk bersama dengan pasangan baharu,” katanya di Facebook hari ini.
Tegasnya, itulah seni politik dimainkan oleh Pas yang serba berkemungkinan.
“Seni yang boleh berubah-ubah. Seni yang jika agama dikesampingkan matlamat boleh menghalalkan cara,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahmad Fadhli yang berkata, Pas berpotensi menawan Pahang sekaligus merubah kepimpinan kerajaan negeri berkenaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahmad Fadhli berkata, ia memandangkan ketika ini Pas menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 42 kerusi DUN Pahang dalam PRU pada 2018, manakala BN 25 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) sembilan kerusi.
Menurutnya, jika dalam PRU akan datang penyokong-penyokong PH memberi Pas undi di kawasan calon Pas yang tewas kepada Umno dengan majoriti undi yang tipis. – Malaysiapost

