Covid-19: Petugas media buat ‘swab test’

0
2

SERAMAI 11 petugas media di Kelantan hari ini menjalani ‘swab test’ Covid-19 susulan dipercayai mempunyai kontak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua petugas media berkenaan membuat liputan Program Hari Terbuka YADIM yang dirasmikan Zulkifli di Dewan Jubli Perak, di sini, pada 25 September lalu iaitu sehari selepas beliau pulang dari Sabah.

Para petugas media menjalani ujian saringan itu di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, Kelantan.

Mereka yang terbabit adalah daripada BERNAMA, BERNAMA TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Hijrah, NSTP, Sinar Harian dan Harakah.

Memetik laporan Berita Harian, semua pengamal media berkenaan dinasihatkan oleh pegawai kesihatan yang bertugas untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan ujian calitan Covid-19 dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.

Wartawan daripada TV Al-Hijrah,Chia Chee Lin, berkata dia agak terkejut apabila dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) didapati positif COVID-19.

“Memandangkan saya dan rakan-rakan membuat liputan pada majlis dihadiri beliau pada 25 September, kami semua mengambil pendekatan awal untuk hadir ke Klinik Kesihatan bagi menjalani swab test.

“Walaupun tiada tanda-tanda demam atau batuk, kami tetap hadir ke sini bagi menghilangkan kerisauan,” katanya.

Semalam, Zulkifli mengesahkan beliau positif COVID-19 dan kini sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliay turut menyeru orang ramai yang hadir majlis yang melibatkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 dengan segera. -Malaysiapost