PBM yakin BN mampu bawa kestabilan politik

0
2

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) ingin menyertai BN kerana yakin gabungan paling lama di Malaysia itu mampu membawa kestabilan kepada politik tanah air.

Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad, berkata pihaknya menyambut baik keputusan Dewan Tertinggi BN untuk meneliti penyertaan parti itu sebagai komponen BN.

“Permohonan PBM untuk menyertai BN adalah demi kestabilan dan keharmonian politik Malaysia.

“Kami percaya, perubahan-perubahan positif hanya akan dicapai jika negara ini ditadbir oleh gabungan parti politik yang kukuh dan berupaya untuk memperjuangkan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malam tadi Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata mesyuarat yang berlangsung turut membincangkan permohonan beberapa buah parti untuk menjadi komponen BN.

Katanya, mesyuarat Dewan Tertinggi BN memaklumkan kesemua permohonan bagi menjadi parti komponen sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN.

“Dewan tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama sama dengan BN,” kata Zambry dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Nor Hizwan berkata
PBM sedia untuk berunding dengan Dewan Tertinggi BN bagi menjawab isu yang perlu beri penjelasan sekiranya ada.

Katanya, sebagai sebuah gabungan parti paling lama di Malaysia, sudah tentu BN perlu membuat keputusan dengan memberikan pertimbangan terhadap pelbagai perkara sebelum mencapai konsensus untuk menerima kemasukan baru.

“PBM menghargai keputusan BN untuk membincangkan perkara ini dengan lebih teliti sebelum keputusan rasmi dikeluarkan kelak.

“Pimpinan tertinggi PBM turut bersedia untuk berunding bersama Dewan Tertinggi BN sekiranya terdapat sebarang isu atau perkara yang perlu dijelaskan sebelum apa-apa keputusan dibuat,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here