Ayuh ratakan lengkungan sekali lagi – Dr Noor Hisham

0
2

Fitri Nizam

KITA perlukan solidariti dan bersatu supaya dapat melawan ‘musuh’ yang sama dengan lebih berkesan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi tiga hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata negara sudah 10 bulan berdepan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan kehidupan harian dan normalisasi terjejas.

Katanya, mengawal transmisi komuniti berskala besar adalah keutamaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita semua perlu bersatu untuk berdepan dengan situasi transmisi berskala besar Covid-19 yang sedang berlaku ketika ini.

“Kita miliki tiga senario dan tiga model yang memberikan keputusan hampir sama,” katanya sambil merujuk kepada graf yang dikepil pada hantaran itu yang mewakili situasi negara ketika ini.

Dr Noor Hisham turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu meratakan lengkungan Covid-19 sekali lagi.

“Kita perlu membuat keputusan sama ada mahu bersatu dan menjadi lebih kuat atau pun meratapi ‘nila yang setitik’ berulang kali sedangkan kes terus meningkat.

“Pasukan barisan hadapan kita sedang mengerah keringat mereka di ‘perbatasan’ ketika ini,” katanya. – Malaysiapost