Wanita tunai umrah berpakaian ihram akan disiasat – Idris

0
3

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kejadian tular seorang wanita mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama KDN untuk membuat siasatan lanjut setibanya individu tersebut di Malaysia.

Katanya, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) juga telah dihubungi bagi meneliti perkara terbabit.

“Saya juga telah menghubungi pihak MOTAC untuk memastikan jika perkara ini benar, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Idris berkata, beliau mengambil perhatian berhubung perkara tersebut kerana melibatkan hukum Islam dan tindakan tegas akan dikenakan kepada individu itu.

Terdahulu, tular di laman Twitter seorang wanita berperwatakan lelaki atau ‘pengkid’ dipercayai melanggar hukum Islam mengerjakan umrah dengan memakai pakaian ihram.

Berdasarkan ciapan Aliya Mansor, pengkid tersebut adalah teman lelakinya sebelum rahsia jantina wanita itu terbongkar.

Turut dimuat naik video berdurasi 15 saat memaparkan individu yang dikatakan pengkid itu merakam dirinya sedang memakai pakaian ihram dan berdiri berhampiran Kaabah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here