2 diberkas, 3 diburu kes amuk di maahad tahfiz

0
3

Ben Ibrahim

DUA lelaki berjaya diberkas polis selepas mengamuk dan mencederakan seorang guru dan pelajar maahad tahfiz di Kuala Lipis, Pahang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata tiga lagi suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan pihak polis.

“Pihak polis menerima laporan daripada mangsa dalam kejadian itu jam 6.43 petang semalam di Balai Polis Kuala Lipis.

“Berdasarkan laporan, suspek dikatakan datang ke maahad tahfiz itu sekitar jam 5.10 petang dan menyerang seorang guru tahfiz berkenaan dan seorang pelajar sehingga mengalami kecederaan.

“Guru terbabit mengalami kecederaan pada bahagian mata sebelah kanan dan pelajar itu pula cedera pada bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azli berkata, semua suspek dipercayai datang ke maahad tahfiz itu dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda.

Katanya, soal siasat mendapati punca kejadian akibat rasa tidak puas hati seorang waris pelajar maahad tahfiz itu berhubung pembayaran kos makanan di situ.

“Pihak polis berjaya memberkas dua daripada suspek dalam serbuan di kawasan Damak, Jerantut, awal pagi tadi.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek direman empat hari, bermula hari ini hingga 15 Ogos ini.

Terdahulu, kes amuk itu menjadi viral di media sosial Facebook dan mendapat perhatian netizen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here