Kerjasama KPDNHEP dan PDRM lumpuhkan sindiket penyelewengan diesel

0
2

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima empat kes aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa lalu dan semalam.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Mohd Khairi Jamaluddin, berkata kesemua kes berkenaan adalah kerjasama strategik kedua-dua agensi dalam usaha membanteras aktiviti jenayah penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“KPDNHEP Selangor menerima empat kes serahan daripada PDRM di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) iaitu tiga kes pada 9 Ogos lalu dan satu kes semalam.

“Keempat-empat kes berkenaan adalah disyaki aktiviti penyelewengan barang kawalan subsidi bahan api diesel di lokasi berasingan iaitu di Semenyih, Kota Damansara, Kapar dan Puchong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes pertama pada Selasa lalu di Semenyih membabitkan tahanan seorang warga tempatan dan sitaan sebuah lori yang disyaki digunakan untuk penyelewengan serta 11 tangki berisi diesel dianggarkan 5,500 liter dengan nilai rampasan keseluruhan RM350,000.

“Kes kedua juga pada Selasa lalu di Kota Damansara membabitkan tahanan lima warga tempatan dan tiga lori disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel serta lapan tangki berisi 1,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan rampasan adalah RM58,050.

“Kes ketiga pada hari sama di Jalan Kapar membabitkan tahanan empat warga tempatan dan dua warga asing selain sitaan dua lori serta satu tangki berisi anggaran 20,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM99,092,” katanya.

Mohd Khairi berkata, kes terbaharu diserahkan PDRM kepada KPDNHEP Selangor adalah membabitkan kes di Puchong semalam dengan empat tahanan warga tempatan serta sitaan tiga lori dan proses siasatan di lokasi masih dijalankan.

“KPDNHEP Selangor akan meneruskan siasatan lanjut ke atas keempat-empat kes berkenaan untuk mengenalpasti individu atau mana-mana pihak yang terbabit secara langsung di dalam aktiviti bersindiket ini,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here