Isu LCS: Anwar gesa tubuh segera RCI, tak perlu Sidang Khas Parlimen

0
2
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpandangan sidang khas Parlimen bagi membahaskan skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) tidak perlu diadakan.

Beliau sebaliknya bersetuju dengan cadangan Bersatu supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu berkenaan.

“Saya tidak cenderung membahas lagi kerana saya mahu tindakan diambil. Fakta sudah terlalu jelas, bukan masanya untuk bahas.

“Kalau Bersatu cadangkan RCI, ia patut RCI yang membabitkan semua kerana mengapa nak pilih satu dua projek. Pilih semua projek. Pilih semua pimpinan termasuk Anwar pun tidak mengapa.

“Kalau yang mana melakukan kecurangan dari segi rasuah, orang ini patut ditolak dan tidak harus dijadikan calon pada pilihan raya akan datang,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Selasa lalu, tiga senator iaitu Lim Hui Ying, Fadhlina Sidek dan Datuk A Kesavadas Nair mencadangkan isu berhubung projek pembinaan LCS dibahaskan sebelum persidangan Dewan Negara tamat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengumumkan sudah melengkapkan beberapa kertas siasatan berhubung skandal perolehan LCS dan akan mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara.

Anwar yang menyambut baik perkembangan itu berkata, tindakan itu sudah terlambat memandangkan isu berkenaan sudah lama berbangkit.

“Saya alu-alukan, panggillah cepat. Saya pelik juga isu sudah lama sejak 2020, dua tahun kemudian baru nak panggil,” katanya.

Sebelum ini, Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya berhubung projek itu memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here