GAMBARAN situasi kos sara hidup di negara ini yang didakwa lebih rendah daripada negara ASEAN lain adalah palsu, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Bagan itu, berkata perkara tersebut tidak benar sama sekali kerana walaupun ada negara mencatat kadar inflasi lebih tinggi daripada Malaysia tetapi ukuran kos sara hidup perkapita mereka adalah jauh lebih baik.
“Adalah dikesali kerajaan cuba berikan gambaran palsu kos sara hidup dan masalah harga barangan naik di Malaysia adalah terendah di Asean.
“Ini tidak benar. Contohnya Singapura mempunyai kadar inflasi sebanyak 5.6%, yang lebih tinggi daripada Malaysia sebanyak 3.4%, kerana tidak ada harga kawalan di Singapura.
“Tetapi ukuran kos sara hidup seperti PPP per kapita bagi Singapura adalah jauh lebih baik daripada Malaysia. Contohnya McDonald’s Big Mac lebih mahal hampir 150% di Malaysia berbanding dengan Singapura,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ekonomi Malaysia menuju ke arah hala tuju yang betul meskipun persekitaran yang mencabar terutamanya dengan jangkaan peningkatan kadar inflasi.
Bagaimanapun, beliau berkata dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 5.0 peratus pada suku pertama 2022, yang melebihi jangkaan, kadar inflasi dijangka kekal rendah.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng menyampaikan bantuan kewangan RM100 kepada 50 keluarga B40 di dalam kawasan Parlimen Bagan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya cuba membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang susah dengan bantuan kewangan RM100 setiap keluarga. – Malaysiapost

