POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan enam warga asing yang dipercayai menjadi buruh paksa oleh sekumpulan ejen pekerjaan yang aktif di kawasan Klang, dalam satu serbuan di Kampung Sungai Udang, Klang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata kegiatan itu terbongkar susulan risikan operasi membabitkan eksploitasi buruh paksa oleh Bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, di kawasan terbabit.
Menurutnya, hasil risikan dan siasatan dalam operasi berjaya mengenalpasti mangsa buruh paksa di kalangan golongan rentan membabitkan pekerja asing yang terdedah kepada jenayah pemerdagangan orang.
Beliau berkata, serbuan dijalankan pada jam 6.30 petang Selasa lalu diketuai Ketua Pengarah D3 Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
“Semasa serbuan dijalankan, polis berjaya menahan empat suspek terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga asing berusia 38 hingga 43 tahun yang dipercayai ejen pekerjaan.
“Polis turut merampas 20 pasport dan wang tunai sebanyak RM13,600 yang dipercayai gaji pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan seramai tiga lelaki dan tiga wanita warga asing berusia 24 hingga 44 tahun diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Siasatan dijalankan menunjukkan kesemua mangsa terdedah kepada dieksploitasi kerja paksa di sebuah kilang simen oleh pihak ejen pekerjaan. Pihak ejen disyaki telah menguruskan pekerjaan dan mengawal pembayaran gaji kepada kesemua mangsa yang diselamatkan.
“Mangsa dijanjikan pekerjaan di kilang dengan tawaran gaji yang lumayan semasa berada di negara asal, namun selepas tiba di Malaysia kos perjalanan dan pasport telah dipotong dari gaji setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata, pasport kesemua mangsa juga disimpan oleh ejen dan tiada permit kerja yang sah sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak ejen semasa di negara asal dan mangsa-mangsa juga disyaki telah dipaksa bekerja lebih masa untuk membayar balik segala kos.
“Majistret Mahkamah Klang telah meluluskan reman ke atas emoat suspek selama enam hari sehingga 15 Ogos ini dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya terdapat pekerja warga asing yang dieksploitasi oleh ejen pekerjaan atau majikan agar tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya. – Malaysiapost
Foto eEhsan IPD Klang Selatan

