AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan dua bot nelayan kelas B di perairan Tanjung Piandang, Perak, semalam kerana menangkap hasil laut menggunakan pukat kenka.
Bot nelayan terbabit ditahan di kedudukan 4.2 batu nautika barat daya Tanjung Piandang, pada jam 6.50 pagi oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali, berkata kedua-dua bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan rutin.

“Justeru, pasukan rondaan merapat ke atas bot-bot terbabit untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat tiga kru warga tempatan termasuk tekong berada di atas bot berumur dalam lingkungan 26 hingga 57 tahun, sedang leka melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat jenis itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati selain menunda di kawasan larangan, kedua-dua bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya namun mempunyai lesen bot yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di zon larangan.
Menurutnya, nelayan serta bot dan peralatan menangkap ikan yang dirampas kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan salah laku di laut.
“Sebarang pelanggaran undang-undang dan kecemasan di laut, orang ramai boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 dengan segera,” katanya. – Malaysiapost

