AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam kru termasuk tekong sebuah bot nelayan yang dipercayai karam di Pulau Redang pada 10 malam Isnin lalu.
Bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu dilaporkan keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli memaklumkan bahawa Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan SAR semalam bagi mengesan bot tersebut.
“Bot Maritim Perkasa 1234 digerakkan ke kawasan bot tersebut dilapor karam lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang. Sehingga kini seorang mangsa selamat iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31.
“Hari kedua, sektor pencarian diperluaskan hingga 242 batu nautika dan beberapa aset diatur gerak awal pagi tadi seperti aset Kapal Maritim (KM) Redang, pesawat Bombardier CL415 bersama bot Perkasa 1234,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau meminta semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar dapat menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357. – Malaysiapost

