DEWAN Negara pada hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Pindaan Dalam Jawatankuasa yang memperuntukkan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak 52 Ahli Dewan Negara bersetuju manakala tujuh orang lagi tidak hadir.
Menurutnya, bacaan Kedua Rang Undang-Undang ini di Dewan Negara telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
“Sesi perbahasan Rang Undang-Undang ini telah menyaksikan penglibatan seramai 32 Ahli Dewan Negara.
“Antara persoalan yang dibahaskan adalah mengenai hukuman, penalti dan denda kepada Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti, pemakaian peruntukan larangan bertukar parti kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara.
“Selain, tafsiran bertukar parti yang melibatkan parti gabungan dan pemecatan Ahli Dewan Rakyat, pemakaian Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, perbandingan peruntukan bertukar parti di negara-negara lain dan pemansuhan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seterusnya, Wan Junaidi membuat penggulungan perbahasan dan Bacaan Ketiga Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Pindaan Dalam Jawatankuasa pada hari yang sama selepas undian di Dewan Negara menyaksikan 52 Ahli Dewan Negara bersetuju manakala tujuh lagi tidak hadir.
Katanya, Rang Undang-Undang ini dijangka akan diwartakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Pindaan Dalam Jawatankuasa telah dibahaskan selama dua hari bermula pada 27 Julai 2022 dan 28 Julai 2022 serta diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti undian sebanyak 209 manakala 11 Ahli Dewan Rakyat tidak hadir.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan penggubalan Rang Undang-Undang ini sehingga diluluskan di Dewan Negara pada hari ini merupakan suatu langkah ke arah kestabilan politik negara.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Negara yang memberikan sokongan kepada Rang Undang-Undang ini.
“Pada masa yang sama, penghargaan turut diberikan kepada semua yang terlibat dalam penggubalan Rang Undang-Undang ini khususnya Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Parlimen Malaysia termasuk pemimpin-pemimpin parti politik yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan Rang Undang-Undang ini,” katanya. – Malaysiapost

