Projek LCS peninggalan ‘kebobrokan’ kerajaan BN – Muhyiddin

0
2

SKANDAL pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) adalah peninggalan kebobrokan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, walaupun pemerintahan BN berakhir pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun sehingga hari ini masih dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka.

“Yang terbaharu ialah skandal pembinaan kapal LCS TLDM yang melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion.

“Ia merencatkan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahannya terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu disifatkan amat mengejutkan.

“Bantahan ini bagaimanapun tidak diendah oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan ketika itu ialah Presiden Umno dan Pengerusi BN pada masa ini.

“Inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam PRU15. Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?,” katanya.

Sehubungan itu, Presiden Bersatu itu menggesa Kabinet mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.

“PN yang dianggotai Bersatu, PAS, GERAKAN, STAR Sabah dan SAPP adalah sebuah gabungan politik nasional yang akan terus memperjuangkan nasib rakyat jelata tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah serta mentadbir negara dengan penuh berintegriti.

“Inilah komitmen kami yang paling utama untuk Malaysia. Mudah-mudahan dengan berkat sokongan dan mandat rakyat, PN akan dapat merealisasikan komitmen ini menerusi pembentukan sebuah kerajaan Prihatin Rakyat dan Berintegriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here