KEDIAMAN mewah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Mar-A-Lago, di Palm Beach, Florida di serbu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) semalam.
Dalam satu kenyataan, Trump mendakwa negaranya kini mengalami detik hitam apabila kediamannya itu ditawan, diserbu dan dipenuhi oleh sekumpulan besar ejen FBI.
“Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku kepada Presiden-Presiden AS sebelum ini. Serbuan tanpa amaran ini tetap berlaku walaupun saya telah memberi kerjasama sepenuhnya dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan.
“Tindakan ini tidak perlu dan tidak wajar, ia adalah salah laku pendakwaan yang menjadikan sistem keadilan sebagai senjata untuk menghalang saya bertanding jawatan Presiden pada 2024,” katanya dalam kenyataan itu.
Trump berkata, serangan terhadapnya itu hanya berlaku di negara dunia ketiga yang bergolak, namun malangnya AS kini sudah menjadi seperti negara berkenaan, di mana telah rosak pada tahap yang tidak dilihat sebelum ini.
Beliau turut mendakwa agensi berkenaan turut memecahkan peti besi simpanannya.
Jabatan Keadilan AS (DOJ) ketika ini melancarkan siasatan peringkat awal terhadap tindakan Trump yang didakwa mengeluarkan dokumen rasmi Presiden dan menyimpannya di kediaman beliau di Florida.
Pentadbiran Arkib Negara dan Rekod Kebangsaan AS memaklumkan Kongres pada Februari lalu bahawa ia menemui kira-kira 25 kotak dokumen White House di rumah Trump di Florida dengan sebahagiannya adalah maklumat sulit.
Trump sebelum ini mengesahkan beliau bersetuju memulangkan rekod tertentu kepada pihak arkib, sambil menyifatkan perbuatannya sebagai sesuatu yang biasa dan hanya proses rutin. – Malaysiapost

