FELCRA Berhad mengorak langkah dalam aktiviti perniagaannya dengan melaksanakan projek mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta.
Projek dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus, Rompin itu adalah sebahagian inisiatif FELCRA dalam menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kementeriannya menyalurkan peruntukan projek mega itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Kebenaran merancang projek ini telah dimohon kepada Majlis Daerah Rompin dengan tatacara atau peraturan ditetapkan oleh pihak majlis, jadi saya fikir Majlis Daerah Rompin dan kerajaan Pahang tiada masalah untuk meluluskan kerana apa yang dipohon itu telah mengikut prosedur.
“Projek ini akan membantu menambah bekalan ayam di pasaran dalam negara selain membuka peluang pekerjaan kepada peserta FELCRA,” katanya selepas lawatan kerja ke Tapak Kompleks Ladang Ayam Pedaging Sistem Tertutup FELCRA Berhad di Tanjung Seratus, Rompin, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.
Mahdzir berkata, projek tersebut adalah sebahagian Pelan Transformasi FELCRA 2.0 untuk mempelbagai bidang perniagaannya dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit semata-mata.
Pembinaan kompleks ternakan ayam di atas tanah seluas 20 hektar itu mula dibina bulan ini dan dijangka siap bulan Januari tahun depan.
Ia dijangka mampu membekalkan 600,000 ekor ayam bagi satu pusingan 35 hari atau 3.6 juta ekor pada tahun pertama operasinya.
“FELCRA menjangka dalam satu tahun dapat enam kali pusingan dan ini permulaan (projek) dan pihak FELCRA telah membuat ‘engagement’ dengan pihak yang ada kepakaran dan teknologi selain FELCRA juga ada pegawai-pegawai dalam bidang itu (penternakan ayam),” katanya.
Beliau berkata, ketika ini keperluan ayam dalam negara adalah berjumlah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan.
“Berbanding pengeluaran semasa ayam sebanyak 1.6 juta ekor sehari iaitu kekurangan kira-kira 409 ribu ekor ayam sehari.
“Ini sebahagian program dalam FELCRA yang saya jangka FELCRA juga akan mengadakan kawasan ataupun tapak di negeri lain pula selepas ini untuk menambah jumlah bilangan ayam,” katanya. – Malaysiapost

