RUU anti lompat parti tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara

0
2

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen bersetuju Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu setelah mempertimbangkan beberapa pandangan membabitkan isu perundangan di peringkat negeri dan perundingan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik baginda.

Beliau berkata, ketika ini ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang dilantik oleh Agong dan yang dipilih oleh negeri berdasarkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili parti-parti politik.

“Ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang dilantik oleh Agong dan yang dipilih oleh negeri berdasarkan keahlian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili parti politik masing-masing.

“Oleh demikian, peruntukan larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting iaitu isu perundangan ini di peringkat negeri selain memerlukan perundingan dan perkenan Agong.

“Ahli Dewan Negara dan semua pihak berkepentingan sewajarnya diperjelaskan menerusi sesi libat urus terlebih dahulu sebelum pindaan perlembagaan berkaitan pindah parti. Jadi, kita akan bincang dengan Ahli Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Negara, hari ini.

Ismail Sabri berkata, penggubalan RUU berkenaan telah mengambil masa hampir setahun dan menjalani proses yang bukan mudah kerana membabitkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak yang terlibat.

“Sehubungan itu, semua sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat kepada pindaan RUU ini amatlah penting memandangkan keperluan ia hanya akan diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan ketiga tidak kurang daripada dua pertiga atau 40 jumlah minimum daripada 60 Ahli Dewan Negara.

“Besarlah harapan saya agar RUU ini dapat disokong dan diluluskan secara sebulat suara oleh Ahli-Ahli dewan Negara dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

“RUU ini merupakan satu sejarah besar kepada negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan antara pihak kerajaan dan pembangkang,” katanya.

RUU ini akan dibahaskan Ahli-ahli Dewan Negara sebelum digulung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dijadual jam 3 petang ini.

RUU berkenaan diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat membabitkan 209 menyokong, tiada yang tidak bersetuju dan 11 Ahli Parlimen tidak hadir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here