BERSATU Johor mendesak petualang yang menjadi punca kegagalan perolehan kapal tempur persisir (LCS) tampil bertanggungjawab dan memberi kenyataan penuh berhubung isu melibatkan aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.
Ketuanya, Datuk Dr Shahruddin Jamal, berkata isu itu mencemar nama baik Kementerian Pertahanan sebagai pihak atasan yang tidak menerima pandangan TLDM sebagai ‘end user’ untuk menggunakan rekabentuk SIGMA berbanding GOWIND.
“Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS) atau Kapal Tempur Pesisir bagi kegunaan TLDM adalah amat mengejutkan.
“Sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS yang disenaraikan PAC menerusi laporan tersebut tidak boleh diterima oleh rakyat, selain memberi kesan negatif terhadap moral warga TLDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Shahruddin berkata, perolehan LCS itu perlu diteruskan kerana ia perolehan kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara seperti dimaklumkan TLDM pada 6 Ogos lalu.
Menurutnya, pasukan khas atau ‘taskforce’ perlu diwujudkan bagi memastikan perolehan LCS dapat disiapkan sepenuhnya berdasarkan jadual yang baharu berserta pertambahan kos yang minimal.
Tegasnya, penubuhan taskforce terbabit bagi bagi melakukan penelitian dan pemantauan projek berkenaan secara terperinci.
Dalam masa, beliau menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan bagi memastikan isu itu dapat dirungkai dengan segera memandangkan ia kini dilihat sebagai skandal ketirisan yang menjadi bualan rakyat.
“Sudah tentu rakyat ingin mengetahui mengapa bayaran oleh pihak kerajaan sebanyak RM6.083 billion bagi projek runding terus ini telah dilakukan, tetapi sehingga kini tiada kapal telah diserahkan kepada pihak TLDM,” katanya.
Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang dilaksanakan secara runding terus namun tiada kapal yang diterima setakat ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata berdasarkan prosiding dijalankan, pihaknya mendapati LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus.
Justeru, beliau merumuskan bahawa upacara penamaan dan pelancaran LCS terbabit seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal berkenaan sudah siap. – Malaysiapost
Kredit foto: Awani

