Ainul Mardhiah kembali kritikal, berulang kali diserang sawan

0
1

KANAK-KANAK yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, dilaporkan kembali berada dalam keadaan kritikal selepas berulang kali diserang sawan semalam.

Berita itu dikongsikan bapanya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi Facebook miliknya sebentar tadi, melaporkan keadaan anaknya yang agak ‘teruk’ hari ini.

“Ini kali pertama Ainul kena sawan. Dan ianya berlaku empat hingga lima kali dalam tempoh tak sampai 12 jam.

“Ainul nampak sangat berbeza sekarang. Ainul pernah banyak kali jatuh sakit sebelum ini, tapi saya nampak dia masih bertenaga untuk melawan walaupun diberi ubat tidur,” katanya.

Dia berkata, walaupun tanpa sebarang ubat tidur keadaan Ainul Mardhiah hari ini seolah-olah seperti ditidurkan dengan hanya bola mata saja mampu gerakkan.

“Badannya kaku. Saya menangis semahunya sejak serangan berlaku tengah malam tadi. Saya tak dapat nak gambarkan apa yang saya rasa sekarang. Saya sangat sayang dengan Ainul.

“Saya redha. Doktor masih berusaha merawatnya. Kita semua sudah mendoakan yang terbaik untuknya. Sekarang tiba masanya saya serahkan urusan ini kepada yang hak untuk menentukan,” katanya.

Namun, Ahmad Safiuddin berkata, dia masih berharap keajaiban dari Allah SWT mengizinkan Ainul Mardhiah terus kuat dan dipanjangkan usianya supaya dia dan keluarga masih dapat menjaga dan membesarkan kanak-kanak itu.

“Tapi apa lah daya saya. Saya tidak tahu manakala DIA (Allah SWT) tahu segalanya. Doakan untuk Ainul Mardhiah kami,” katanya.

Pada 1 Ogos lalu, media melaporkan Ainul dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan agak tenat dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Namun, selepas dua hari menerima rawatan, keadaan kanak-kanak itu dilaporkan lebih baik dan tidak lagi kritikal serta beransur pulih.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian ramai pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu menjalankan pembedahan di London, United Kingdom (UK), bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya ketika kanak-kanak itu berusia sembilan bulan pada Jun 2019. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here