HOSPITAL Taiping mengambil inisiatif berjumpa waris seorang bayi yang didakwa tidak dapat penjagaan sewajarnya ketika dirawat di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) di hospital berkenaan sejak 23 Jun lalu sebelum meninggal dunia 1 Ogos lalu.
Terdahulu tular di media sosial mengatakan seorang ibu terkilan dengan kematian bayinya angkara sikap cuai segelintir jururawat.
Pengarah Hospital Taiping Dr Narimah Yusof, berkata pihaknya mengadakan perjumpaan itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung aduan mengenai Unit Kejururawatan di Jabatan Perubatan Pediatrik hospital berkenaan bagi tindakan lanjut.
“Hospital Taiping merujuk kepada perkongsian dari seorang wanita bertajuk ‘Simpan kenangan anak syurga ibu dan ayah’ oleh Nurul Iqa yang kini tular di ruangan media sosial.
“Hasil siasatan awal mendapati perkongsian peribadi berkenaan telah disalah guna oleh beberapa portal berita yang memetik tajuk dengan tujuan menyalahkan pihak tertentu sehingga menyebabkan kematian anak kepada penulis perkongsian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak Hospital Taiping berharap agar tidak ada pihak yang mengambil isu berkenaan bagi tujuan tular dan memberi ruang kepada siasatan yang sewajarnya.
Sementara itu, semakan di Facebook Nurul Iqa mendapati wanita berkenaan turut menjelaskan apa yang berlaku dan mendakwa penulisan sebenarnya sangat bercanggah dengan apa yang ditularkan.
Antara kandungan penulisannya pada 2 Ogos lalu turut memberitahu tentang jururawat yang menjaga anaknya tidur di meja ketika anaknya sedang menangis kesakitan.
“Di penulisan saya hanya mencerita apa yang terjadi di depan mata saya. Bukan dengan satu kecuaian tapi terlalu banyak. Saya tidak mempersoalkan bidang perubatan kenapa perlu dicucuk di sedut kahak wayar banyak, masuk darah ,masuk ubat tidur.
“Saya hanya terkilan dengan layanan segelintir nurse (jururawat) yang menjaga anak saya sedang kritikal. Dan sekali lagi saya mention hanya segelintir sahaja. Tidak semua yang bertitle nurse.
“Saya harap dengan apa yang telah saya tulis ini dapat menjawab segala hal yang diperkatakan dan menjadi pertelagahan,” tulisnya.
Nurul Iqa juga reda dan ikhlaskan hati atas pemergian anaknya itu yang takdirnya hanya 40 hari hidup di dunia.
“Apa saja kecuaian yang terjadi di depan mata saya akan saya salurkan aduan ke saluran sepatutnya. Jika tiada pengadilan di dunia, di akhirat pasti ada . Insya-Allah semuanya dengan izin Allah,” katanya. – Malaysiapost

