p-Hailing: Usah tambah beban penunggang dengan syarat baharu GDL

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk membawa keluhan penunggang p-hailling susulan keputusan kerajaan mewajibkan mereka memiliki lesen memandu vokasional (GDL).

Beliau berkata, cadangan untuk mewajibkan penunggang p-Hailing memiliki GDL pada ketika ini amatlah tidak munasabah terutama ketika ekonomi negara masih belum pulih.

“Janganlah diperas lagi penunggang tatkala ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya, pasaran kerja yang masih sendu, tekanan harga barangan yang meningkat dek inflasi dan beban bayaran balik pinjaman bank.

“p-Hailing inilah yang menjadi ruang untuk mereka mencari rezeki, memastikan dapur berasap, anak bini cukup makan dan ada bumbung menutupi mereka sekeluarga,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak menafikan sedikit sebanyak cadangan GDL itu mempunyai merit apabila menyentuh soal keselamatan dan perlindungan insurans.

“Cuma ianya tidak menyelesaikan masalah pokok kepentingan dan kebajikan mereka yang menceburi sektor gig ekonomi ini. Dah tu siapa nak kena tanggung kos buat GDL ni? Penunggang atau syarikat?,” soalnya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut mencadangkan supaya kos mengambil lesen GDL ditanggung syarikat p-Hailing sendiri dan bukan diletakkan kepada penunggang.

“Mahu GDL, boleh dipertimbangkan. Tetapi kami mahu pekerja-pekerja sektor ini diiktiraf sebagai kekerja mengikut undang-undang buruh negara.

“Barulah hak dan kepentingan mereka dan keluarga mereka terjamin. Lebih manis, syarikat yang tanggung kos ambil lesen GDL. Boleh? Jika tidak boleh, tak perlu lah kan?

“InsyaAllah, saya sendiri akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan untuk bawa isu yang menjadi keluhan anak-anak muda yang terlibat dalam industri P-Hailing ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan, penunggang perkhidmatan p-hailling diwajibkan memiliki lesen GDL selepas pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan diluluskan.

Ka Siong, berkata pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 menetapkan had usia penunggang perkhidmatan penghantaran makanan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here